Logo Taco Bell
WASHINGTON – Taco Bell sedang mengkaji semula penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi pandu lalu restoran berkenaan di Amerika Syarikat susulan kesilapan teknologi berkenaan.
Menerusi rakaman video, seorang pelanggan seolah-olah merosakkan sistem dengan memesan 18,000 cawan air, manakala seorang pelanggan marah kerana AI berulang kali meminta dia menambah lebih banyak minuman ke dalam pesanannya.
Sejak 2023, rangkaian makanan segera itu telah memperkenalkan teknologi di lebih 500 lokasi di AS, dengan tujuan untuk mengurangkan kesilapan dan mempercepatkan pesanan.
Tetapi nampaknya AI telah memberikan masalah.
Ketua Pegawai Digital dan Teknologi Taco Bell, Dane Mathews memberitahu The Wall Street Journal penggunaan AI suara juga memberi cabaran kepada mereka.
“Kadang-kadang ia mengecewakan saya, tetapi kadang-kadang ia benar-benar mengejutkan saya,” katanya.
Dia berkata, syarikat itu “mempelajari banyak” perkara – tetapi beliau kini akan berfikir dengan teliti tentang tempat untuk menggunakan AI pada masa hadapan, termasuk tidak menggunakannya semasa pandu lalu.
Matthews berkata, ada kalanya manusia lebih mudah menerima pesanan, terutamanya apabila restoran semakin sibuk.
“Kami akan membantu pasukan pekerja tentang masa untuk menggunakan AI suara dan bila lebih baik untuk mereka memantau atau melangkah masuk,” katanya.
Isu-isu tersebut telah berkembang dalam talian apabila pelanggan yang tidak berpuas hati menggunakan media sosial untuk mengadu tentang perkhidmatan itu – yang banyak memberi gangguan dan isu.
Satu klip di Instagram, yang telah ditonton lebih 21.5 juta kali, menunjukkan seorang lelaki memesan “Mountain Dew dengan banyak” dan suara AI terus membalas “dan apa yang akan anda minum dengannya?”.
Ini bukan kali pertama AI melakukan masalah semasa memproses pesanan makanan dan minuman.
Tahun lepas McDonald’s menarik balik AI daripada pandu lalunya kerana teknologi itu menyalahtafsir pesanan pelanggan menyebabkan seorang pelanggan menerima daging yang diletakkan dalam ais krim  dan seorang lagi terpaks membayar harga nuget ayam  ratusan dolar kerana kesilapan dalam tempahan.
Tetapi di sebalik beberapa gangguan yang dihadapi oleh Taco Bell, ia mengatakan dua juta pesanan telah berjaya diproses menggunakan AI suara sejak ia diperkenalkan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast