https://www.facebook.com/share/v/1Cfki9a7nP/

PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya di sini hari ini meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung dari serata tempat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang berlangsung.

Sejak dari tengah malam tadi orang ramai tidak mengira kaum datang dan memenuhi setiap ruang  bagi menyaksikan detik acara yang telah diatur bagi menaikkan lagi semangat untuk cintakan negara.

Bertemakan Malaysia Madani: Rakyat Disantuni – sambutan kali ini diisi dengan pelbagai segmen yang mempamerkan semangat kebersamaan – merentasi pelbagai latar budaya sekaligus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat menyempurnakan acara yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan jemaah menteri.

Sambutan bakal diserikan dengan istiadat ketenteraan, persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia Madani sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.

Acara pembukaan bakal membawakan penampilan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan mempersembahkan lagu tema tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sebelum perarakan dimulakan.

Sebanyak 81 kontinjen membabitkan 14,062 peserta akan mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan, yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam.

Perarakan yang akan berlangsung nanti diwarnai dengan pembabitan 82 peserta dalam Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 yang diterajui Jabatan Penerangan Malaysia setelah menjelajah 88 lokasi di seluruh negara untuk menyemarakkan semangat patriotik.

Turut memeriahkan perarakan ialah paparan kenderaan nasional dan barisan kenderaan elektrik (EV) pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, melambangkan komitmen Malaysia ke arah inovasi hijau dan pembangunan mampan selari dengan aspirasi MADANI dan dasar automotif negara.

Acara akan turut menampilkan pertunjukan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan aksi pesawat tempur utama negara yang bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya, diketuai Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang menerbangkan pesawat pejuang jenis Su-30MKM. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast