KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) dan MyKasih memohon maaf kepada orang ramai diatas kesulitan yang dialami ketika menggunakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hari ini.
MyKasih Foundation dalam kenyataannya menjelaskan bahawa, gangguan teknikal yang berlaku berpunca daripada jumlah transaksi yang sangat tinggi pada hari pertama penyaluran bantuan tersebut.
“Susulan jumlah transaksi yang sangat tinggi, sistem terminal MyKasih telah mengalami kelewatan dalam pemprosesan transaksi akibat lonjakan volum pembelian,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pembelian masih boleh dilakukan namun, terdapat sebahagian premis runcit yang menghadapi kesukaran memproses transaksi kerana permintaan sistem yang terlalu tinggi.
Katanya, pasukan teknikal MyKasih kini sedang giat berusaha menyelesaikan isu tersebut dan menjangkakan sistem akan kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.
Terdahulu hari ini, beberapa pasar raya dilaporkan ‘kecoh’ apabila ramai pelanggan terpaksa meninggalkan troli penuh dengan barangan selepas sistem pembayaran MyKasih gagal berfungsi.
Masalah itu berlaku pada hari pertama tuntutan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dikreditkan ke dalam MyKad.
Akibatnya, transaksi tidak dapat diproses di kaunter pembayaran dan situasi itu mencetuskan rasa kecewa dan kekeliruan dalam kalangan penerima bantuan.
SARA merupakan inisiatif kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui bantuan berbentuk barangan asas yang boleh ditebus di premis-premis runcit terpilih. – MalaysiaGazette
















