PUTRAJAYA – Dataran Putrajaya bertukar menjadi lautan manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 semalam apabila puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dan latar belakang hadir seawal pagi semalam bersama-sama meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara.
Perarakan penuh warna-warni yang menampilkan barisan pasukan keselamatan, kontinjen jabatan kerajaan, pelajar, sukarelawan serta pertunjukan udara menarik berjaya mencuri perhatian pengunjung yang bersorak dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan tinggi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam serta mereka yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh dedikasi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang hadir beramai-ramai termasuk keluarga, kanak-kanak dan warga emas, yang bersama-sama meraikan detik bersejarah itu dengan penuh semangat persaudaraan.
“Tidak lupa, terima kasih kepada para hadirin yang hadir untuk bersama-sama meraikan detik bermakna ini sebagai satu rakyat, satu negara,” katanya lagi.
Menurutnya, sambutan luar biasa di Dataran Putrajaya itu mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia yang berakar pada perpaduan, rasa hormat antara satu sama lain dan kecintaan mendalam terhadap tanah air.
“Kehadiran dan komitmen semua melambangkan kekuatan sebenar Malaysia kekuatan yang lahir daripada perpaduan, saling menghormati, dan rasa cinta terhadap tanah air tercinta ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
















