Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Tenun Pahang Diraja kepada pemenang dan diiringi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena perasmian Majlis Temasya Warisan Pahang di Pekan, malam tadi.

PEKAN -Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Temasya Warisan Pahang, di Muzium Maritim Pulau Beram malam tadi.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.

Majlis diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun  Mohd Ali Mohd Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Ketibaan baginda pukul 8.30 malam disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri yang turut hadir sama majlis berkenaan.

Pada majlis berkenaan, Sultan Pahang berkenan melawat pameran Lukisan Jiwa M Nasir sebelum ke pentas utama bagi menyempurnakan titah pelancaran Temasya Warisan Pahang.

Baginda turut berkenan merasmikan pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah serta mengurniakan hadiah dan Piala Tunku Azizah kepada pemenang pertandingan Tenun Pahang Diraja anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Pada majlis berkenaan, baginda serta semua hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta Konsert Khas M.Nasir.

Temasya bertaraf antarabangsa itu meliputi pelbagai aktiviti seperti bengkel kraf, demonstrasi dan interaktif kraf, pameran kraf, demonstrasi makanan warisan, tarian warisan serta pertandingan Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja.

Temasya Warisan Pahang akan berlangsung pada 1 hingga 7 September 2025 di  Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, di sini – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast