YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk "Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia " di Universiti Tianjin, China. 1 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menawarkan jalan berbeza dalam mendepani kekalutan dan tatanan dunia yang goyah iaitu menerusi kedaulatan dalam kebergantungan.

Menurut Perdana Menteri, ia bukan soal tunduk kepada orang lain, sebaliknya seni untuk berdiri teguh tanpa perpecahan.

Jelas beliau, negara boleh kekal sepenuhnya dengan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada aliran perdagangan, sumber dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran bersama.

“Inilah semangat harmony without uniformity yang sudah lama berakar di Asia.

“Dari pelayaran Laksamana Zheng He hingga falsafah hé ér bù tóng, kita belajar bahawa tamadun mampu memperkayakan antara satu sama lain tanpa menghilangkan identiti.

“Kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat itu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia ” di Universiti Tianjin, China. 1 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Terdahulu, menurut Anwar, beliau pagi tadi diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, sebuah institusi bersejarah berusia lebih 130 tahun.

Dalam syarahan itu beliau berkongsi tentang kepercayaan yang terbina antara Malaysia dan China sejak setengah abad lalu, selain menyinggung soal kegawatan ekonomi dunia ketika ini, juga tentang hikmah sejarah yang mengingatkan kita bahawa konflik adalah pilihan.

Menurutnya, keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan.

“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan,” katanya yang turut menghargai cenderamata yang dihadiahkan pihak universiti berupa replika sijil diploma pertama yang dikurniakan sekitar tahun 1900.

Tambah Anwar, daripada asas itu juga lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia ” di Universiti Tianjin, China. 1 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Menurut beliau, dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan itu menjadi sesuatu yang amat berharga.

“Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan.

“Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, sebagai rantau yang kini memacu pertumbuhan global, Asia memikul amanah untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan sebaliknya membina kemakmuran bersama.

Ujarnya, perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan, dan setiap orang boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit.

“Jika semangat ini kita teguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, kekal berpendirian namun terbuka antara satu sama lain.

“Di situlah lahir kekuatan kita, dan di situlah kita memperteguh Asia di persada dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast