KUALA LUMPUR – Pelabuhan Klang kini berada di tangga ke-10 dalam senarai Top 100 Ports, sekali gus menempatkannya dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia buat julung kali.
Pencapaian yang diumumkan oleh Lloyd’s List 2025 turut menyaksikan Pelabuhan Klang mengatasi Hong Kong, mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, kejayaan ini cukup bermakna sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, melambangkan semangat cekal, perpaduan dan kemajuan negara.
Pada tahun 2024, Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1% berbanding 14.06 juta TEU pada 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 8.9% aktiviti import dan eksport, hasil permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna.
Walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.
Berdasarkan momentum ini, pengendalian Pelabuhan Klang dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan dalam kalangan hab maritim utama dunia.
Peningkatan Konsisten Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu – dari tangga ke-13 (2022), ke-11 (2023), dan kini ke-10 (2025).
Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan
perdagangan global.
Kementerian ini berkata, kemajuan Pelabuhan itu turut disokong oleh projek pembangunan infrastruktur Westports melalui pengembangan terminal baharu (CT10–CT17) yang dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU menjelang 2028.
Manakala Northport menyaksikan naik taraf Dermaga 9 dan fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar serta volum pengendalian yang meningkat.
Projek mega jangka panjang di Pulau Carey berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060, sebagai nadi strategi
maritim Malaysia masa hadapan.
Selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, sambil mencatat lonjakan throughput kepada 12.25 juta TEU pada 2024 – peningkatan 16.9% berbanding 10.48 juta TEU pada 2023.
Kementerian Pengangkutan menambah, kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia. – MalaysiaGazette
















