Harimau Kumbang bernama Apoh yang tular di Zoo Negara, Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 22 JULAI 2025.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menegaskan hidupan liar yang ditempatkan di zoo atau kemudahan kurungan lain berisiko mengalami obesiti sekali gus menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan haiwan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, isu itu timbul selepas tular gambar seekor harimau kumbang bernama Apoh di Zoo Negara yang kelihatan berlebihan berat badan meskipun pihak zoo menjelaskan haiwan berkenaan sihat.

“Obesiti yang dialami oleh haiwan di dalam zoo boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti makan berlebihan, aktiviti fizikal yang berkurang, peluang yang terhad untuk bersenam dan diet yang berbeza dengan ketara daripada yang terdapat di dalam hutan semula jadi.

“Tidak seperti rakan liar lain, haiwan dalam kurungan ini tidak perlu memburu atau mencari makanan. Ini sangat mengurangkan tahap aktiviti sementara meningkatkan risiko mengambil lebih banyak kalori daripada apa yang diperlukan.

“Walaupun kakitangan zoo menguruskan diet dengan berhati-hati, sedikit sahaja jumlah makanan berlebihan atau peluang yang tidak mencukupi untuk bersenam boleh menyumbang kepada penambahan berat badan yang tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, laporan dari luar negara termasuk China, Amerika Utara dan Eropah turut mencadangkan haiwan di beberapa zoo mengalami masalah berat badan yang membawa kepada gesaan penelitian lebih teliti terhadap rejim pemakanan dan amalan penjagaan haiwan.

“Terdapat bukti jelas bahawa gajah dalam kurungan sering menghadapi masalah kesihatan berkaitan obesiti seperti artritis dan gangguan terhadap kaki, keadaan yang dikaitkan dengan pergerakan yang terhad dan diet tidak semula jadi.

“Sama seperti manusia juga, obesiti pada haiwan dikaitkan dengan peningkatan risiko diabetes, penyakit jantung, masalah sendi dan komplikasi kesihatan yang lain.

“Menangani masalah itu memerlukan pelarasan diet dengan menyederhanakan pengambilan makanan dan mengubah komposisinya agar lebih dekat dengan diet semula jadi selain peningkatan peluang bersenam melalui aktiviti pengayaan, kandang yang lebih besar dan persekitaran merangsang tingkah laku semula jadi.

“Membenarkan haiwan mencapai berat yang membahayakan kesihatannya mencerminkan penjagaan yang tidak mencukupi di pihak mana-mana kemudahan kurungan dan merupakan punca kebimbangan serius,” katanya.

Mohideen berkata, CAP tetap berpendirian hidupan liar tidak sepatutnya dipelihara di dalam kurungan kerana zoo jarang meniru ekosistem semula jadi yang amat rumit atau menyediakan cabaran serta rangsangan diperlukan untuk kesihatan fizikal dan mental haiwan.

“Selalunya pihak zoo lebih mengutamakan menarik pelawat dan menjana pendapatan bergantung pada tarikan anak haiwan serta pameran baharu.

“CAP percaya tumpuan sebenar perlu diberikan kepada pemuliharaan hidupan liar di habitat semula jadinya, di mana usaha melindungi biodiversiti adalah cara yang paling berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast