KUALA LUMPUR – Penyelidikan tidak seharusnya kekal di atas kertas semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan menjadi solusi praktikal yang memberi manfaat terus kepada masyarakat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, ribuan kertas penyelidikan diterbitkan setiap tahun namun hanya sebahagian kecil berjaya diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, MARA mampu menjadi jambatan bagi merapatkan jurang antara dapatan penyelidikan dengan keperluan komuniti khususnya melalui bahagian inovasi dan teknologi kreatif.
“Inovasi tidak boleh berhenti pada peringkat prototaip. Ia perlu dibawa ke pasaran, sekolah, klinik dan perusahaan desa supaya benar-benar memberi impak kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kuala Lumpur International Summit on Sustainable Future (KLSF 2025) di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South City hari ini.
Turut hadir Pengerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
KLSF 2025 yang dianjurkan UniKL menghimpunkan 551 peserta dari 20 negara, menjadikannya antara persidangan berkaitan kelestarian terbesar di rantau ini.
Persidangan dua hari itu turut menggabungkan 10 acara anjuran kampus dan pusat UniKL dengan lebih 930 abstrak diterima serta 550 pembentangan kertas penyelidikan.
Asyraf berkata, pelbagai bidang diketengahkan termasuk Sains Gunaan dan industri halal yang bakal diteliti untuk memperkukuh kerjasama dengan industri serta komuniti bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara ASEAN.
Bagaimanapun, beliau mengakui ekosistem inovasi negara masih bergerak secara berasingan melibatkan universiti, agensi, industri dan komuniti.
“Institusi pendidikan perlu membuang mentaliti silo dan mula mensinergikan penyelidikan dengan gerak kerja lapangan. UniKL, misalnya, boleh memainkan peranan terkehadapan dalam menggembleng tenaga pakar industri dan akademik agar manfaatnya sampai kepada masyarakat,” katanya.
Dalam konteks Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), beliau menekankan inovasi mesti bersifat inklusif dan tidak hanya dibangunkan untuk pasaran berkemampuan.
“Saya mahu penyelidik dan inovator mengamalkan last-mile mindset – uji prototaip di luar bandar, bangunkan bersama komuniti tempatan, dan pastikan kos serta kegunaan menjadi keutamaan.
“Hanya dengan itu teknologi boleh menjadi penyamarata sebenar, bukan pemisah,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















