Seorang lelaki Orang Asli maut cedera dalam nahas dua kenderaan di Jalan Muar-Segamat, Tangkak, malam tadi.

TANGKAK – Seorang lelaki Orang Asli maut manakala empat lagi cedera dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 28.1, Jalan Muar-Segamat di sini malam tadi.

Mangsa yang terkorban merupakan seorang pekebun, Nasir Omar berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pukul 12.35 tengah malam.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna biru dengan sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta itu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun sedang bergerak secara lurus di laluannya.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dan pemboncengnya secara tiba-tiba keluar dari susur kiri secara melawan arus.

“Motosikal mangsa kemudian masuk ke laluan kereta berkenaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pertembungan itu, penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian peha dan tangan sebelum meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat manakala pembonceng motosikal berkenaan di kejarkan ke hospital yang sama sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar,” katanya.

Tambah Roslan, pemandu kereta dan dua penumpang kereta hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tangkak.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika disabitkan kesalahan penjara antara lima sehingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga lima tahun.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa 013-9825324 bagi melengkapkan siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast