Sivakumar berehat
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Cadangan mengenakan caj RM100 terhadap kenderaan yang melebihi had masa 10 minit di laluan ambil dan hantar penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disifatkan sebagai keterlaluan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata langkah itu membebankan pengguna khususnya keluarga dengan warga emas, kanak-kanak dan penumpang yang membawa bagasi berat.

“Had masa 10 minit terlalu singkat dan tidak praktikal kerana urusan di lapangan terbang memerlukan masa lebih panjang.

“Sekurang-kurangnya tempoh itu perlu dilanjutkan kepada 15 minit kerana perbezaan lima minit amat besar jika dibandingkan dengan penalti setinggi RM100.

“Caj sebegini bukan sahaja menambah tekanan kepada rakyat, malah berisiko menimbulkan kesesakan baharu apabila pemandu teragak-agak untuk memasuki laluan itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan, walaupun Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan sistem Vehicle Access Management System (VAMS) itu masih dalam tempoh percubaan sehingga 30 November tanpa sebarang penguatkuasaan denda, kekeliruan tetap berlaku kerana maklumat berhubung perkara itu tidak disampaikan dengan jelas kepada orang ramai.

Sebelum ini, media melaporkan KLIA akan memulakan percubaan VAMS bagi menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan dan memastikan akses lebih lancar ke terminal.

Menurut MAHB, percubaan di Terminal 1 meliputi Aras 5 (pelepasan – menghantar penumpang) dan Aras 3 (ketibaan – mengambil penumpang) bermula dari 1 September hingga 30 November 2025, manakala di Terminal 2 ia akan dijalankan dari 15 September hingga 30 November 2025.

Katanya, percubaan itu bertujuan melancarkan trafik, meningkatkan keselamatan serta menyediakan akses lebih baik kepada pengguna terminal. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast