KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau selepas dikesan menunggang sebuah motosikal yang dilaporkan hilang dalam rondaan cegah jenayah semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asis ten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 pagi ketika Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menjalankan rondaan di Taman Sentosa sebelum terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki barang salah dan tiada rekod dikehendaki, namun semakan mendapati dia mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal itu mengesahkan ia telah dilaporkan hilang di kawasan Klang,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, suspek ditahan dan motosikal berkenaan dirampas sebelum dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















