SEGAMAT – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan membangunkan dua stesen seismik bertujuan mengesan dan mengukur kekuatan gelombang seismik susulan enam kejadian gempa bumi di daerah ini baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, stesen berkenaan akan menempatkan alat seismometer.
“Kita sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pemasangan alat tersebut. JPBD Segamat sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Setakat ini permohonan sedang diteliti dan lokasi sesuai sedang dinilai. Lokasi pembinaan stesen tersebut tidak boleh berhampiran jalan raya dan penempatan penduduk serta jauh bebas daripada habitat liar kerana alat seismometer sensitif kepada bunyi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, hari ini.
MetMalaysia mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara termasuk enam di Johor bagi mengesan aktiviti gempa bumi.
Enam alat pengesan gegaran itu terletak di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, dan Mersing.
Sementara itu, beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat memaklumkan sebanyak 64 laporan kerosakan membabitkan kediaman dan surau.
Jelasnya, laporan kerosakan bagaimanapun hanya melibatkan kerosakan kecil seperti retakan pada dinding dan siling.
Beliau memberitahu, bermula 24 sehingga 30 Ogos lalu, enam gegaran direkodkan membabitkan magnitud antara 2.7 hingga 4.1.
“Sepanjang tempoh itu, JPBD telah diaktifkan bagi memantau sebarang perkembangan termaksud bilik gerakan dan rondaan lebih kerap agensi penyelamat polis dan bomba,” katanya.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi Sabtu (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 dikatakan berlaku di Semerah, Batu Pahat pukul 1.57 petang Ahad lalu, menurut mesej pemberitahuan dalam Google. – MalaysiaGazette
















