KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah guru yang memilih untuk bersara awal, sambil mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah segera termasuk membentangkan kertas putih di Parlimen.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, fenomena itu mencerminkan wujudnya masalah sistemik dalam sistem pendidikan negara terutama selepas pengenalan norma baharu digitalisasi yang didakwa menambah beban kerja guru secara ketara.
“Guru semakin terbeban dengan tugas pentadbiran dan digitalisasi yang bertindih sehingga hilang fokus untuk mendidik di bilik darjah.
“Malah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pernah mengakui hilangnya minat terhadap profesion perguruan merupakan antara punca utama guru meninggalkan kerjaya lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wendy, statistik rasmi menunjukkan trend yang membimbangkan apabila seramai 5,306 guru bersara awal pada tahun 2022, meningkat kepada 6,394 pada 2023 dan mencatatkan 5,082 pada tahun 2024.
Lebih membimbangkan, katanya, seramai 2,397 guru telah meninggalkan profesion tersebut hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Selain isu persaraan awal, Gerakan turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran lain yang membelenggu sistem pendidikan negara termasuk kes buli pelajar yang berlarutan, kadar keciciran yang meningkat serta fenomena ibu bapa yang sanggup berbelanja lebih untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa dan swasta walaupun berdepan beban kewangan.
“Apabila ibu bapa sanggup berkorban lebih daripada kemampuan demi sekolah swasta, ia menimbulkan persoalan sama ada sekolah awam kini dianggap kurang berkualiti. Apa langkah KPM untuk mengembalikan keyakinan rakyat?” soal Wendy.
Justeru, Gerakan menggesa KPM membentangkan satu Kertas Putih di Parlimen bagi memperincikan pelan tindakan menyeluruh dalam menangani pelbagai isu pendidikan khususnya berkaitan kebajikan guru.
“Guru adalah tunjang pendidikan negara. Jika mereka terus dipinggirkan, masa depan anak-anak kita yang akan terjejas. Sudah tiba masa KPM tampil dengan penyelesaian konkrit, bukan sekadar kenyataan tanpa tindakan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















