komputer riba MRSM
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Guru-guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sudah terbeban dengan tanggungjawab hakiki tidak mampu melaksanakan peranan sebagai warden asrama dengan berkesan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, guru sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembangunan akademik pelajar, bukannya dibebankan lagi dengan tugas tambahan menjaga hal ehwal pelajar di asrama.

“Guru-guru MRSM yang terbeban dengan tanggungjawab hakiki tidak akan mampu laksana tugas warden secara berkesan. Lagipun aktiviti ‘pelik-pelik’ termasuk buli di asrama hanya berlaku selepas waktu akademik termasuk tengah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, keadaan itu jelas menunjukkan perlunya warden khusus yang fokus terhadap pengurusan dan disiplin pelajar di asrama supaya masalah sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, Mara kini sedang mengkaji langkah terbaik untuk menambah tenaga warden bagi memastikan kesejahteraan pelajar di asrama terjamin, selain mengurangkan beban guru.

Beliau menambah, cadangan tersebut akan diperhalusi bersama Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan bagi memastikan peranan guru kembali tertumpu kepada tanggungjawab utama mereka.

Menurut Asyraf Wajdi, itu sebabnya MARA mengambil inisiatif melaksanakan program rintis dengan menempatkan bekas pegawai tentera bersara, kebanyakannya dalam usia 40-an, sebagai warden sepenuh masa.

Katanya, mereka ditugaskan khusus dari jam 10 malam hingga 7 pagi untuk memastikan pemantauan lebih menyeluruh.

“Walaupun guru mendapat elaun tambahan RM300 untuk bertugas sebagai warden, mereka pastinya tidak akan mampu memantau aktiviti pelajar setiap hari terutamanya selepas waktu akademik. Tambahan dengan bebanan tanggungjawab hakiki sebagai guru, peranan mereka untuk memeriksa asrama amatlah terhad,” jelasnya.

Beliau berkata, kekangan itu menyebabkan risiko kes buli dan aktiviti tidak sihat lebih tinggi apabila hanya ada pemantauan secara sambilan atau tidak berterusan.

Justeru, Mara meminta Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan kajian menyeluruh terhadap keberkesanan pengambilan bekas anggota beruniform sebagai warden sepenuh masa.

“Moga-moga usaha untuk kita mensifarkan kes-kes buli ini akan berjaya dan mampu mewujudkan suasana persekitaran asrama dan maktab yang selamat serta sejahtera buat semua pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast