Dua lelaki Indonesia ditahan selepas cuba seludup masuk ke negara ini dengan menggunakan bot pancung tanpa nombor pendaftaran di perairan Morib, Pelabuhan Klang semalam. Ihsan Foto : Maritim Negeri Selangor

 

 

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menggagalkan cubaan dua lelaki warga Indonesia menyusup masuk ke negara ini menggunakan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran di perairan Morib, Pelabuhan Klang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi di kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib hasil pelaksanaan Op Khas Jalur Belakang.

Operasi itu digerakkan selepas Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan sekitar jam 12 tengah malam.

“Bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot tersebut berhenti namun tidak diendahkan.

“Bot terbabit terus memecut dan berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit sebelum ia terkandas di kawasan bakau Morib.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemui kru di atas bot, namun pencarian di kawasan sekitar berjaya menemukan dua lelaki Indonesia berusia 22 dan 33 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai cuba masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dan kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Bot bersama suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast