KUALA LUMPUR – Remaja warga United Kingdom, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lepas disahkan tidak mengalami sebarang trauma atau kecederaan fizikal.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang memberitahu, remaja berkenaan telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Remaja itu telah diserahkan kepada ibunya dan akan dibawa pulang ke Britain memandangkan visa lawatan beliau tamat pada 5 September 2025.
“Kes kini dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) KLIA untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, remaja terbabit yang hilang sejak tiga bulan lepas ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah hotel di Jalan Pudu, dekat sini, malam tadi.
Fadil yang mengesahkan perkara itu berkata, remaja tersebut ditemukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 7 malam.
Sebelum ini, polis menyiasat kes kehilangan remaja itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas menaiki penerbangan ke Malaysia secara senyap-senyap.
Pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan menaiki penerbangan seorang diri dari Manchester ke Kuala Lumpur.
Dia juga bertindak mematikan telefon sejurus tiba di Malaysia dan dilaporkan telah menghantar e-mel kepada ibunya buat kali terakhir pada 9 Julai lepas.
Antara kandungan e-mel tersebut ialah pesanan Balisong supaya ahli keluarga tidak mencari atau bimbang akan keadaan dirinya dan remaja berkenaan turut mendoakan agar mereka berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu. – MalaysiaGazette
















