KUALA LUMPUR – Fasa kedua projek pembinaan bangunan utama Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berkapasiti 300 katil dijangka siap sepenuhnya pada 12 November 2026.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan, kemajuan keseluruhan projek pembinaan kini mencapai 66.17 peratus, iaitu tiga hari lebih awal daripada jadual asal.
“Apabila siap kelak, hospital berkenaan dijangka mampu menyokong ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang perubatan dan sains kesihatan di UNIMAS, selain memberi manfaat kesihatan kepada lebih ramai penduduk di kawasan Samarahan, Kuching, Serian dan Sri Aman,” katanya.
Menurut KKR, pihaknya menerusi Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia akan terus melakukan pemantauan rapi dan sesi libat urus secara berterusan bagi memastikan projek disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan.
Inisiatif itu katanya, selari dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan prinsip keprihatinan dan ihsan terhadap keperluan rakyat dalam usaha mempercepatkan penyampaian manfaat kepada warga UNIMAS dan komuniti setempat.
Terdahulu, menerusi kenyataan sama KKR memaklumkan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan turun padang bagi meninjau kemajuan kerja projek berkenaan hari ini.
Lawatan tersebut sebahagian daripada budaya kerja KKR dalam memastikan setiap projek pembinaan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, selain menyelesaikan sebarang isu lapangan yang boleh menjejaskan pengurusan dan kelancaran pelaksanaan projek.
Projek berimpak tinggi yang bernilai RM485.99 juta itu dilaksanakan secara reka dan bina oleh syarikat kontraktor Perbena Emas Sdn. Bhd. dengan Pasukan Projek Khas 2, manakala Jabatan Kerja Raya bertindak sebagai agensi pelaksana.
Projek dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama melibatkan pembinaan Pusat Kesihatan Prima (PKP) yang telah siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Jun 2024.
PKP ini berfungsi sebagai pusat kesihatan harian untuk kes tidak kritikal dan dilengkapi kemudahan seperti Bilik X-Ray, Klinik Batuk, Klinik Mata, Klinik Warga, Makmal Perubatan serta Bilik Pemeriksaan Kesihatan Awam.
Fasa ini turut merangkumi pembinaan bangunan sokongan seperti surau, pusat jagaan kanak-kanak (creche), kafeteria, pondok pengawal, bangunan mekanikal dan elektrik serta tangki air aras tinggi. – MalaysiaGazette
















