Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 6 SEPTEMBER 2025.

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membidas kegagalan kerajaan menangani isu kos sara hidup, termasuk kenaikan harga barangan asas seperti ikan kembung yang kini semakin membebankan rakyat.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi keseluruhan yang rendah, hakikatnya inflasi makanan lebih tinggi dan dirasai terus oleh rakyat di pasar.

Malah, katanya dengan peningkatan kos sara hidup meningkat, kerajaan menarik pula subsidi ketika rakyat sedang susah.

“Kerajaan kata inflasi hanya 1.1 peratus, tapi mereka tidak sebut inflasi makanan sudah melebihi 3.3 peratus. Pergi pasar, harga ikan kembung pun naik mendadak melambung hingga RM20 sekilo. Rakyat terbeban, tetapi kerajaan buat tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 di IDCC Shah Alam di sini hari ini.

Sambungnya, keadaan ekonomi negara semakin membimbangkan dengan pelaburan langsung asing (FDI) yang menjunam lebih 80 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, ini cerminan keyakinan pelabur terhadap kerajaan. Malangnya, keyakinan itu semakin merosot,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegur tindakan kerajaan yang didakwa mengabaikan kepentingan tempatan apabila membenarkan pelantikan pihak luar, termasuk warga asing, dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) strategik seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Isu MAHB, aset strategik negara dijual kepada BlackRock sebuah entiti yang terkait dengan genosid di Gaza. Kerajaan beri jaminan kononnya penjualan MAHB ini tidak gadaikan kedaulatan negara dan pengurusan tertinggi MAHB kekal anak tempatan tapi apa jadi?

“Kita dengar baru-baru ini tiga individu luar dilantik dalam kepimpinan MAHB. Ini soal kedaulatan ekonomi negara, apa yang tinggal untuk anak-anak kita,” ujarnya.

Hamzah menegaskan, tindakan itu memberi isyarat yang salah kepada rakyat, selain menimbulkan persoalan tentang keutamaan kerajaan dalam mempertahankan kepentingan nasional.

Beliau menyeru rakyat menilai semula prestasi kerajaan sedia ada yang menurutnya gagal menjaga kesejahteraan rakyat.

“Kos sara hidup meningkat, pelaburan merosot, aset strategik tergadai. Rakyat sudah cukup menderita. Sebab itu kita perlu perubahan besar melalui Perikatan Nasional,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast