Jenazah Muhamad Haziq (gambar kecil atas) akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – “Arwah seorang anak yang baik, tidak ada tanda-tanda perubahan pada dirinya dan pemergiannya amat mengejutkan kami sekeluarga”.

Begitu luahan pilu Azlina Ali, 49, ibu kepada Muhamad Haziq Adnan, 22, yang maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana di sini, semalam.

Azlina berkata, sebelum kejadian, anaknya itu keluar untuk mengisi angin tayar motosikal miliknya menggunakan kereta ayahnya.

“Dia keluar sekejap saja semalam untuk isi angin tayar motosikal, tak sangka pula jadi macam ni.

Azlina (kanan) bersama anak bongsunya, Nur Aleaya Maisara, 18, ditenangkan ahli keluarga ketika ditemui di Jabatan Forensik Hopsital Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

“Kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah, dekat sangat dengan kawasan kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hopsital Kepala Batas di sini, hari ini.

Memgulas lanjut Azlina berkata, Muhamad Haziq merupakan anak sulung daripada dua beradik dan dia pulang ke kampung pada Jumaat lalu susulan cuti panjang sempena Maulidur Rasul.

“Arwah baru dua tahun berkhidmat di Kem Terendak, Melaka, sebagai anggota tentera dan pagi ini sepatutnya dia pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menyambung kursus ketenteraan yang diikutinya sejak awal Jun lalu.

“Dia anak yang baik, tak pernah susahkan kami. Sebagai ibu, memang rasa kehilangan yang amat besar. Dia tempat kami bergantung harap, tapi saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas ketika ahli keluarga hadir menuntut jenazah Muhamad Haziq.

Urusan pengebumian Allahyarham dikendalikan pihak Angkatan Tentera (ATM) dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lahar Tiang.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua maut, seorang cedera parah dalam nahas di Kepala Batas

Media semalam melaporkan dua pemandu maut manakala seorang penumpang cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung antara satu sama lain di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Perodua Myvi Tan Kwang Sin, 56, dan pemandu Proton Iswara Muhamad Haziq Adnan, 22.

Kwang Sin maut di lokasi kejadian, isterinya yang juga penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Kepala Batas manakala Muhamad Haziq pula, dilaporkan meninggal dunia di hospital sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast