Mohamad merasmikan Persidangan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antrabangsa ke-76 (IEC) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengeluaran makanan perlu ditingkatkan sekurang-kurangya 50 peratus menjelang tahun 2050 susulan populasi dunia yang dijangka mencecah sehingga 9.7 bilion.

Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kini seramai 2.4 bilion orang hidup dalam keadaan tekanan air yang mana sektor pertanian menggunakan kira-kira 70 peratus daripada jumlah pengambilan air tawar dunia.

Bagaimanapun perubahan iklim mengancam bekalan serta kebolehjangkaannya dan menjelang 2030, permintaan global terhadap air dijangka melebihi bekalan sebanyak 40 peratus sekiranya tren semasa berterusan.

“Dalam gambaran ini, pengairan bukanlah amalan lapuk dari masa silam. Sebaliknya, pengairan berada di tengah-tengah masa depan kita.

“Pertimbangkan fakta ini hanya 20 peratus daripada tanah pertanian dunia yang mempunyai air namun ia menghasilkan 40 peratus daripada bekalan makanan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antrabangsa ke-76 (IEC) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mohamad berkata, di ASEAN, keselamatan makanan adalah takdir yang dikongsi bersama.

Dengan populasi melebihi 600 juta orang, rantau ini berdepan permintaan makanan yang meningkat, cabaran sumber air di Lembangan Mekong dan Chao Phraya serta ancaman kejutan iklim yang semakin ketara.

ASEAN juga mempunyai potensi besar dengan hampir 90 juta hektar tanah yang diairi di mana sebahagian besarnya boleh dimodenkan untuk meningkatkan kecekapan.

“Malaysia percaya bahawa ASEAN perlu memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan air, melabur dalam penyelidikan bersama dan menyelaraskan piawaian dalam pengairan pintar iklim,” katanya.

WIF4 merupakan persidangan yang terunggul dalam bidang pengairan, saliran pertanian dan keterjaminan makanan di peringkat antarabangsa.

Persidangan tersebut dianjurkan setiap tiga tahun sekali dalam kalangan negara yang menjadi ahli ICID dan merupakan platform untuk perbincangan penggubal dasar, organisasi kerajaan, badan korporat, penyelidik dan komuniti petani.

Penganjuran WIF sebelum ini telah berlangsung di beberapa lokasi iaitu pada kali pertama di Mardin, Turki (WIF1) diikuti pada di Chiang Mai, Thailand (WIF2) dan seterusnya di Bali, Indonesia (WIF3).

Pada kali ini, Malaysia telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran WIF4. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast