KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diterima daripada kerajaan.
Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya turut menghantar laporan setiap perbelanjaan seperti mana yang telah diminta kerajaan.
“Untuk makluman, penyata perbelanjaan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MoF) setiap tiga bulan sekali.
“Pada masa sama, FAM menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) setiap bulan.
“KBS bertangunggjawab memantau perbelanjaan mengikut seperti apa yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasa pasukan bola sepak kebangsaan.
Menurut Anwar, peruntukan tersebut adalah komitmen daripada kerajaan untuk kebajikan, latihan dan pengurusan skuad Harimau Malaya.
Azman menambah, setiap sen yang digunakan daripada peruntukan kerajaan telah dimasukkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan.
“Jadi kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan itu kerana apa yang dibelanjakan adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















