KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor (PLPB), di sini hari ini.
Majlis yang diadakan hari ini merupakan simbolik kepada pembukaan semula PLPB yang telah dinaik taraf dengan kos berjumlah RM30 juta.

Pusat latihan berkeluasan 6.07 hektar itu kini dilengkapi blok pentadbiran, blok kuliah, bengkel jahitan, makmal komputer, asrama, dewan makan, kuarters penyelia, blok kemahiran, surau dan fasiliti sukan.
Turut mengiringi keberangkatan Tengku Ampuan Pahang adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Ahmad Zahid dalam sembah ucapannya berkata, PLPB kini bersedia menawarkan pelbagai Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berteraskan kemahiran untuk melahirkan belia orang asli yang bukan sahaja cekap dan berdaya saing, malah mampu menguasai bidang-bidang strategik yang diperlukan oleh industri masa kini.
“Sebagai langkah permulaan, kita berbangga apabila Pusat Latihan ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Dengan pengiktirafan ini, anak-anak muda orang asli bakal memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 di mana kohort pertama pelatih akan memulakan pengajian mereka menjelang penghujung tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah meluluskan 20 perjawatan baru bagi PLPB tanpa tukar ganti merangkumi pelbagai gred dan skim bagi kelancaran urusan operasi pusat itu.
Pusat latihan itu juga merupakan pusat sehenti pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan lengkap kepada belia arang asli untuk mengikuti latihan dan kursus dengan kos latihan ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAKOA. – MalaysiaGazette
















