Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dalam kes eksplorasi mineral dan tanah di Sabah disifatkan tergesa-gesa serta menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat.

Biro Politik MUDA dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu lebih banyak menimbulkan tanda tanya daripada jawapan memandangkan skandal tersebut melibatkan konsesi tanah puluhan ribu hektar, jauh melebihi keluasan Kuala Lumpur.

“Bagaimana kes sebesar ini boleh diselesaikan sekelip mata, sedangkan kes enam ADUN Sabah masih tergantung tanpa laporan baharu? Adakah piawaian penyiasatan kini bergantung kepada siapa yang dekat dengan kuasa, bukan kepada prinsip keadilan?” soal kenyataan itu.

Menurut MUDA, nama Farhash juga bukan asing kerana sebelum ini seorang bekas Menteri Ekonomi pernah mengaitkan beliau dengan satu kes whistleblower yang dikendalikan ketika itu.

“Maka, wajar untuk rakyat bertanya: apakah komen Perdana Menteri mengenai perkara ini? Bukankah Farhash pernah bekerja rapat dengan Anwar Ibrahim?” jelas kenyataan sama.

MUDA turut mendakwa, rakyat maklum kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki disambung bukan atas faktor prestasi semata-mata sebaliknya demi kelangsungan politik.

“Dan kini survival itu bergantung kepada restu Anwar Ibrahim dan (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi. Bagaimana rakyat mahu percaya keputusan sebegini benar-benar bebas daripada pengaruh politik?,” kata Biro Politik MUDA.

Kenyataan itu menegaskan, SPRM hanya akan dihormati apabila ia berdiri di atas integriti, bukannya tunduk pada kuasa serta dilihat melindungi pihak tertentu.

“Selagi ia dilihat tergesa-gesa membersihkan nama individu tertentu, keyakinan rakyat terhadap institusi ini akan terus hancur,” tegas kenyataan Biro Politik MUDA itu lagi.

Awal hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata badan itu mengesahkan siasatan ke atas Farhash berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.

Azam berkata keputusan untuk menutup siasatan terbabit dibuat susulan timbalan pendakwa raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

Teroka mineral Sabah: Siasatan terhadap Farhash selesai, ditutup – SPRM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast