KOTA TINGGI – Harapan generasi kedua Felda Papan Timur di sini untuk memiliki rumah sendiri tidak kesampaian apabila kediaman yang dijanjikan dapat diduduki empat tahun lalu masih terbengkalai.
Sebanyak 539 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di kawasan Felda Papan Timur, Sungai Mas dan Bandar Mas itu yang dibina sejak 2013 masih gagal disiapkan sepenuhnya sehingga hari ini.
Masalah tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri yang meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan tersebut.
“PGBF ini masih ‘terbengkalai’ walaupun dijanjikan siap sejak 2022. Keadaan ini amat mengecewakan kerana isu tersebut sudah berlarutan lebih 10 tahun tetapi sehingga kini masih belum selesai.
“Lebih memilukan, ada pemohon asal yang membuat permohonan dilaporkan sudah meninggal dunia tanpa sempat menjejakkan kaki ke rumah impian mereka.
“Bayangkan ada pemohon ketika memohon rumah tersebut dahulu masih bujang, sekarang sudah pun berkeluarga dan mempunyai tiga anak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Inisiatif Memperkasa Komuniti Felda Negeri Johor Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar di Dewan Semai Bakti Felda Air Tawar 5 di sini semalam.
Jelasnya, rumah itu sepatutnya menjadi tempat mereka membina kehidupan baharu tetapi sampai sekarang tidak siap dan proses pembinaannya sangat perlahan.
PGBF katanya, menawarkan harga setiap rumah yang sangat berpatutan bagi generasi kedua iaitu sekitar RM90,000 hingga RM100,000.
Fauziah turun padang minggu lalu bersama-sama pengurusan Felda Investment Corporation (FIC) bagi meninjau sendiri keadaan projek berkenaan.
Katanya, kontraktor terlibat sudah dikenakan surat denda ketika permohonan lanjutan masa (EOT) dan kini masih menunggu kelulusan penyambungan semula daripada pihak Felda.
Menurutnya, sudah tiga kontraktor terlibat dalam pembinaan PGBF tetapi hasilnya masih mengecewakan.
“Saya desak supaya pihak Felda menilai semula dan menyegerakan penyelesaian isu ini. Jangan biar pemohon terus menunggu tanpa kepastian,” tegasnya.
Pihaknya mahu projek perumahan berkenaan dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.
“Kalau rumah ini siap, bukan sahaja menyelesaikan masalah perumahan, malah mampu meringankan beban ramai keluarga Felda yang menanti sejak sekian lama serta dapat menghalang penghijrahan generasi muda Felda keluar dari kampung,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai majlis tersebut, Fauziah berkata, bantuan kerajaan Johor itu diserahkan kepada warga Felda iaitu RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), RM5,000 untuk Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan RM5,000 untuk Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Sementara RM5,000 masing-masing untuk setiap masjid dan surau serta penyerahan kotak makanan untuk setiap peneroka di enam buah Felda dalam DUN Penawar.l, katanya.- MalaysiaGazette
















