KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh usaha memperkasa pendidikan tinggi inklusif menerusi Program Mobiliti UM Include (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence) Siri II yang berlangsung di King Mongkut’s University of Technology Thonburi (KMUTT), Thailand, dari 11 hingga 15 Ogos lalu.
Program itu merupakan inisiatif strategik UM bagi memastikan mahasiswa orang kurang upaya (OKU) mendapat akses setara kepada pengalaman pembelajaran antarabangsa serta peluang membina kompetensi global.
Selain manfaat akademik, program berkenaan turut membantu meningkatkan keyakinan diri dan sifat berdikari peserta, selain membuka perspektif baharu melalui pengalaman belajar dalam persekitaran antarabangsa.
Siri II melibatkan 14 mahasiswa OKU dari UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang mengikuti pelbagai aktiviti akademik, pertukaran budaya dan bengkel interaktif anjuran KMUTT.
Penyertaan itu diperluaskan kepada mahasiswa dengan ketidakupayaan fizikal termasuk saraf dan scoliosis, selain pelajar kurang upaya pendengaran serta pembelajaran seperti ADHD dan Asperger.
Penglibatan rakan pembimbing dan pegawai pengiring turut menjadi sebahagian daripada ekosistem sokongan bagi memastikan kelancaran mobiliti mahasiswa OKU.
Salah seorang peserta, Hidayah, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kaunseling UM, menyifatkan penyertaan itu sebagai pengalaman bermakna yang membuka keyakinan baharu dalam dirinya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr Hasniza Zaman Huri berkata, program berkenaan selaras dengan aspirasi universiti untuk memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mendapat peluang menikmati pendidikan antarabangsa.
“UM komited memperluaskan kerjasama strategik dengan universiti di seluruh dunia bagi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar OKU untuk mengembangkan potensi diri dan bersaing di peringkat global,” katanya.
Program UM INCLUDE turut mendapat sokongan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir yang sebelum ini menyantuni 12 mahasiswa OKU UM yang menyertai Siri I pada 23 April lalu.
Beliau turut bersetuju menyalurkan sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi menyokong pelaksanaan Siri I, II dan III program berkenaan.
Selepas Siri I di Indonesia yang disertai 12 mahasiswa OKU kategori penglihatan, UM turut memperluaskan kerjasama kepada UKM dan UPM bagi Siri II sebagai sebahagian usaha menjadikan pendidikan inklusif sebagai agenda lebih luas di peringkat nasional.
Program itu akan diteruskan menerusi Siri III di Mahidol University, Thailand, dari 22 hingga 26 September ini dengan penyertaan dijangka melibatkan 20 mahasiswa OKU daripada UM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
UM berkata, pelaksanaan program itu membuktikan pendidikan berkualiti dan peluang mobiliti antarabangsa perlu dapat diakses semua mahasiswa tanpa mengira keupayaan. – MalaysiaGazette
















