MoU ditandatangani antara pihak IUC, UiTM dan Pumar Solar Power dan Renewal Energy Promotion Cooperatives (Jepun) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta membuka kerjaya global buat pelajar ketika EXPO 2025 Osaka, Kansai, Jepun.

KUALA LUMPUR – Innovative University College (IUC) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Renewal Energy Promotion Cooperatives (Jepun) di EXPO 2025 Osaka, Kansai, Jepun, semalam.

Presiden IUC, Shahawati Umar memberitahu, inisiatif tersebut adalah bukti komitmen IUC dalam melahirkan pemimpin masa depan yang mampu bersaing dalam ekonomi global yang sangat dinamik.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperluaskan horizon pelajar kami malah membawa misi IUC ke pentas global.

“Kami percaya pendedahan awal kepada persekitaran industri antarabangsa seperti di Jepun akan membentuk graduan yang lebih bersedia, berwawasan dan mampu menyumbang kepada masa depan tenaga lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis menandatangani MoU antara IUC, Universiti Teknologi Mara dan Pumar Solar Power bersama Renewal Energy Promotion Cooperatives berpengkalan di Jepun bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta membuka laluan kerjaya global kepada pelajar IUC khususnya dalam industri tenaga solar Jepun yang berkembang pesat.

Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli.

Renewal Energy Promotion Cooperatives yang berpengkalan di Jepun itu disertai Pengerusinya, dan Pengarah Luar, Sato Toshiaki.

Turut hadir Pemangku Naib Cacelor UIC,  Muhammad Anas Mohd Bukhori dan Ahli Lembaga Pengerah UIC, Prof Datuk Dr. Azizan Osman.

Shahawati menambah, MoU itu menetapkan tiga objektif utama iaitu pendidikan dan kerjaya global dengan menyediakan laluan kepada pelajar IUC untuk menjalani latihan industri, pendedahan antarabangsa dan peluang kerjaya di Jepun.

“Kedua adalah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun dalam bidang tenaga baharu dan boleh diperbaharui.

“Dan ketiga bagi menyokong pertukaran kepakaran dan pembangunan teknologi melalui penyelidikan bersama serta program pembangunan modal insan,” katanya.

Kata Shahawati, kolaborasi itu turut merangkumi inisiatif pemindahan teknologi dan penyelidikan bersama yang akan memperlengkap graduan Malaysia dengan kemahiran masa hadapan dan menjadikan Jepun sebagai rakan strategik dalam kelestarian serantau.

“Ia sekali gus membuktikan komitmen IUC untuk menyediakan pendidikan yang relevan, berimpak tinggi dan bertaraf global.

“Ia juga selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing tetapi turut menyumbang kepada agenda kelestarian sejagat,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast