Pesawat Japan Airlines

TOKYO – Japan Airlines (JAL) secara terbuka memohon maaf pada hari Rabu ekoran kejadian juruterbang mabuk menyebabkan kelewatan tiga penerbangan.

Kejadian itu menyebabkan syarikat berkenaan menerima amaran kali kedua daripada kementerian pengangkutan dalam tempoh kurang setahun.

Presiden JAL, Mitsuko Tottori mengadakan sidang akhbar untuk meminta maaf atas insiden 28 Ogos lalu apabila seorang juruterbang minum terlalu banyak di Hawaii dan tidak dapat mengendalikan penerbangannya ke Nagoya, Jepun, pada hari berikutnya.

Insiden itu menyebabkan tiga pesawat JAL tertangguh, termasuk satu sehingga 18 jam.

Pada bulan Disember, JAL melarang semua penggunaan alkohol dalam kalangan kru penerbangan semasa penginapan semalaman, selepas dua juruterbang mengambil terlalu banyak minuman keras sebelum penerbangan mereka dari Melbourne ke Narita.

Itu menyebabkan kelewatan selama tiga jam kerana mereka cuba berbohong tentang penggunaan alkohol dan syarikat penerbangan itu diberi amaran.

Pada sidang akhbar hari Rabu, Tottori berkata, firmanya akan mengukuhkan lagi pemeriksaan terhadap penggunaan alkohol dan kesihatan dalam kakitangannya.

“Kami memandang serius keadaan ini, kerana ia masih berlaku walaupun langkah telah diambil pada Disember lalu,” katanya.

Menteri Pengangkutan Hiromasa Nakano telah pun menyuarakan kekecewaannya terhadap syarikat penerbangan tersebut.

“Hakikat kejadian seperti ini berulang kali adalah… kerana (firma itu gagal) mendidik secara menyeluruh setiap pekerja tentang isu keselamatan,” katanya pada Jumaat. Ia amat dikesali,” tambahnya.

Pada 2018, seorang juruterbang JAL telah ditangkap di Britain sejurus sebelum penerbangan kerana hampir 10 kali ganda melebihi had alkohol darah yang dibenarkan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast