Berlaku provokasi oleh penduduk dengan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) berhubung notis perobohan untuk baki 15 rumah oleh syarikat pemaju ketika di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Tindakan agresif penduduk Kampung Sungai Baru sehingga mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera tidak sepatutnya berlaku.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar Manap berkata, kehadiran polis Ketika proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan hanya untuk menjalankan tugas.

Ujarnya, meskipun hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman tidak pernah dihalang namun ianya tidak seharusnya disalahgunakan dengan kekerasan.

“Polis hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah. Sebarang tindakan mencederakan penjawat awam yang bertugas adalah tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dihentikan segera.

“Negara ini menjamin hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman, namun hak tersebut tidak pernah memberi ruang untuk keganasan, provokasi atau mencederakan mana-mana pihak, apatah lagi anggota keselamatan yang menjaga ketenteraman,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak menghormati proses dan prosedur undang-undang.

Ujarnya pihak yang tidak berpuas hati sepatutnya menggunakan saluran yang sah untuk menyatakan bantahan atau pendirian masing-masing.

“Keganasan bukanlah jalan penyelesaian. AMK menegaskan  budaya demokrasi yang matang hanya dapat dibina melalui perdebatan rasional, demonstrasi aman dan penghormatan terhadap penjawat awam yang menggalas tanggungjawab negara,” tambahnya.

Sebelum itu Suzilme terlibat dalam operasi pengusiran baki penduduk Kampung Sungai Baru dilakukan hari ini dan dalam kekecohan itu, beliau dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka sebelum segera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan kecederaan akibat terkena batu yang dibaling.

Sebagai rekod, operasi pengusiran penduduk bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan susulan arahan mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast