PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan telah berbincang dengan peguamnya berhubung fitnah yang dilemparkan beberepa individu yang mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Beliau berkata, cerita-cerita fitnah seperti itu tidak sepatutnya diperlegarkan kepada masyarakat dan pihak-pihak berkenaan perlu berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu.
“Jadi, perancangan seterusnya akan saya maklumkanlah dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini saya ingatkan, nasihat saya kepada semua untuk berhati-hatilah dalam berkongsi berita dan membuat penghantaran.
“Kita pesan dengan pedoman dan juga dengan iman sebenarnya supaya berhati-hatilah dalam menyampaikan berita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Townhall Antibuli anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Kelmarin, Fadhlina membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berikutan fitnah mengenai kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook.
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat, serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran.
“Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya. Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya.
Dalam hantaran sama, Fadhlina turut berkongsi komen warganet yang mendakwanya dalam perkara tersebut.
Beliau juga menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil dan berharap perkara itu menjadi pengajaran agar orang ramai tidak membuat spekulasi. – MalaysiaGazette
















