MELAKA – Kecekalan seorang anak muda menyara hidup bapanya yang lumpuh dan ibu yang tidak bekerja telah mendapat perhatian daripada pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Muhammad Yusri Yusoff, 23, anak keempat daripada lima orang adik beradik yang kini menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyara kedua ibu bapanya, Azlina Abd Aziz, 53, dan Yusoff Abu Adam, 60.
Katanya, ibu beliau merupakan seorang suri rumah sepenuh masa manakala bapanya telah hilang pendapatan akibat terlantar sakit akibat serangan angin ahmar sejak lebih setahun lalu.
Ujarnya, sejak itu, beliau mula aktif menjalankan aktiviti menambah pendapatan untuk keluarga dengan membuat perniagaan menjual makanan sajian ala barat untuk dijual menerusi atas talian.
“Memandangkan pendapatan yang diterima tidak mencukupi untuk perbelanjaan keluarga maka saya ambil inisiatif melakukan satu lagi kerja sampingan iaitu mengambil upah membuat penghantaran bungkusan barangan menerusi salah sebuah syarikat kurier.
“Namun pada masa yang sama saya ingin meneruskan cita-cita saya untuk menyambung pengajian di UTeM kerana dengan pendidikan tinggi maka dapat membuka jalan yang lebih baik untuk saya merubah ekonomi dan nasib keluarga,” ujarnya.
Muhammad Yusri merupakan pelajar lepasan Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Politeknik Merlimau yang telah mencapai kejayaan Purata Mata Gred Keseluruhan
3.33.
Kisah ini telah mendapat perhatian daripada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin yang telah berkunjung ke rumah beliau di Kampung Air Tawar, Merlimau pada malam tadi untuk menyampaikan terus surat tawaran pengajian kepada pelajar ini menerusi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian.
Muhammad Yusri akan lapor diri pada 29 September nanti.
“Memandangkan beliau juga merupakan pelajar yang cemerlang maka pihak pengurusan UTeM turut menyampaikan tawaran Biasiswa Anak Emas UTeM bagi
membantu anak-anak daripada kumpulan B40 menyambung pengajian di UTeM.
“Secara keseluruhan UTeM menawarkan pakej bantuan termasuk wang tunai RM1,500, inisiatif ‘Food Bank’, penginapan asrama hingga tamat pengajian, bimbingan kaunseling dan kerjaya kepadanya sehingga berjaya dalam pelajaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















