Faezuddin dan barisan AMK Johor menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Johor Bahru Utara, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Ugutan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bantahan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam boleh menimbulkan ketakutan awam, menghasut kebencian dan mendorong tindakan ekstremisme.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, ancaman tersebut dibuat suspek yang juga menyeru rakyat bangkit menentang kerajaan.

Individu terbabit, katanya, mendakwa pernah menjadi mujahidin di Afghanistan dan ucapannya itu semasa bantahan di Kampung Sungai Baru amat berbahaya.

“Dia juga mengaku pernah dituduh merancang pembunuhan Perdana Menteri dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama lima tahun.

“Lelaki itu turut mengeluarkan ancaman terbuka dengan berkata, ‘jangan sampai saya buat betul-betul’.

“Polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat ugutan dan ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri kerana tindakan lelaki ini adalah satu perkara serius malah tidak sewajarnya dipandang ringan,” katanya.

Faezuddin berkata demikian selepas membuat laporan berkenaan ancaman tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara hari ini.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai berkata, tujuan laporan itu dibuat supaya pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap individu tersebut.

“Hal ini penting demi keselamatan negara dan untuk memberi mesej jelas agar ancaman seperti ini tidak diulangi terhadap pimpinan tertinggi negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast