KULAI – Pembabitan wanita dalam Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin tidak wajar menjadi isu atau dipersoalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia kerana Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil sudah menyatakan hukum penyertaan wanita dalam pelayaran itu adalah harus.
Menurutnya, pandangan Ahmad Fauwaz dalam perkara tersebut adalah jelas sekaligus memberikan pencerahan .
“Jadi, memandangkan pandangan hukum itu sudah dikeluarkan, kita berpeganglah pada pandangan itu. Isunya bolehkah wanita sertai GSF itu, jawapan sudah diberi.
“Ada kemampuan, ikut kemampuan dan kudrat masing-masing, sama ada lelaki atau perempuan. Yang tidak mampu di sini, kita doa ikut kemampuan kita.
“Tak nak ada yang mempersoalkan, pergi tidak, doa pun tidak,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong 1 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya mengenai persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung pembabitan beberapa selebriti wanita dalam GSF itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya syarat yang ditetapkan bagi seseorang wanita itu menyertai pasukan sukarelawan terbabit sudah dipenuhi maka itu dilihat tidak timbul masalah.
Mufti WP juga ujarnya, ada memaklumkan secara jelas beberapa syarat yang ditetapkan terutamanya isu keselamatan dan kesediaan peserta wanita yang mahu sertai.
“Jadi, kalau syarat ini dipenuhi, saya tidak nampak kenapa mereka ini (wanita) tidak boleh sama-sama menyertainya,” jelasnya.
Ditanya mengenai perkembangan pelayaran pasukan GSF itu, Mohd Na’im berkata, setakat ini, tiada mana-mana peserta yang dilaporkan terbabit dalam insiden kebakaran dua kapal dalam tujuan yang sama itu.
“Saya belum lagi dapat sebarang maklumat tetapi setakat ini dua kapal yang terbabit (diserang dron), Alhamdulillah tiada mangsa yang terlibat,” katanya.
Beliau menyeru semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam terus bersama-sama mendoakan keselamatan pasukan sukarelawan GDF itu selain terus menyumbang secara fizikal atau kewangan bagi membantu penduduk di Gaza.
“Terus doakan dan saya seru atas dasar kemanusiaan, terus beri sokongan supaya mereka yang terlibat dalam GSF ini diberi perlindungan dan terpelihara keselamatan mereka sampai ke bumi Gaza untuk agih bantuan kepada mereka yang kita tahu keadaan mereka sangat daif dan kebuluran kerana tiada makanan,” katanya. – MalaysiaGazette
















