PONTIAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki warga Indonesia selepas dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah menerusi perairan di daerah ini awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 12.30 pagi di lokasi 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Piai.
“Pihak maritim mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dari sempadan Indonesia di Karimun menuju ke perairan Tanjung Piai.
“Kita mengesan pergerakan mencurigakan bot tersebut, pihak maritim Johor segera menggerakkan bot Perkasa 43 untuk membuat pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menerusi Op Jaksa, Op Todak 2/2021 dan Op Tiris 3.0 itu Bot Perkasa 43 berjaya menahan dua lelaki berusia 38 dan 51 tahun yang merupakan warga Indonesia.
Jelasnya, mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai telah masuk Malaysia tanpa izin melalui jalan yang tidak diwartakan.
Kama Azri memaklumkan, kedua-dua lelaki itu kini disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara ini tanpa kebenaran yang sah.
“Pihak kami akan terus memperketatkan penguatkuasaan di perairan Johor dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” tegasnya.
Tambahnya, pihak maritim akan terus melakukan operasi rutin seperti ini bagi memastikan keselamatan perairan negara terjamin daripada ancaman aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-219 9401. – MalaysiaGazette
















