JOHOR BAHRU – Johor Talent Development Council (JTDC) disaran melakukan kerjasama strategik dengan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dalam menyediakan latihan dan perkongsian kepakaran kepada belia Johor.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, kerjasama itu dapat memperkukuh ekosistem modal insan dalam bidang berteknologi tinggi serta memastikan penyediaan tenaga kerja yang profesional dan mengikut pasaran.
“Langkah ini penting supaya kemahiran dan pengetahuan tinggi dibawa masuk ke Johor seterusnya memperkukuh keupayaan generasi muda untuk bersaing dan merebut peluang ekonomi yang terbuka luas,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau menyeru agar penekanan lebih diberikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memperkasa kolej-kolej komuniti di seluruh Johor.
“Sudah tiba masanya Johor memperkasa TVET agar kita mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan keperluan semasa, terutamanya dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
Naib Pengerusi Veteran UMNO Johor itu turut menegaskan, anak-anak Johor perlu diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan dan latihan berkaitan JS-SEZ, berbanding pengambilan tenaga kerja dari luar negeri.
Dalam pada itu, beliau memuji pengumuman kerajaan Johor semalam berkenaan 42 inisiatif tambahan dengan peruntukan RM209 juta yang melibatkan 1.9 juta penerima manfaat di negeri itu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan peruntukan tambahan sebanyak RM31.68 juta bagi menyokong pembangunan pendidikan di Johor.
Menurutnya, tujuh daripada 41 inisiatif itu khusus untuk pelajar di pelbagai peringkat pendidikan termasuk mahasiswa, pelajar Tingkatan 6, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar asasi.
Mubarak Johor ujarnya, berpandangan bahawa inisiatif itu sangat signifikan dalam meringankan beban keluarga berpendapatan rendah serta memberi impak besar kepada para pelajar.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri egeri terhadap pendidikan anak Johor dan akan menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.- MalaysiaGazette
















