Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Nik Abdullah berucap bagi merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Pas perlu mengambil kesempatan daripada lonjakan penolakan kaum bukan Melayu khususnya pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Abdullah berkata, ketika ini, bukan sesuatu yang pelik atau asing untuk mendengar kaum bukan Melayu secara terbuka melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap PH.

Ujarnya, situasi sebegitu hampir langsung tidak wujud kira-kira dua tahun lalu iaitu ketika PH berada pada kemuncak sokongan bukan Melayu.

Namun, jelas beliau, hanya dalam tempoh kira-kira tiga tahun PH mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN) dan UMNO di bawah Kerajaan Perpaduan, kritikan daripada kaum bukan Melayu itu semakin lantang khususnya menerusi media sosial.

“Ini adalah potensi besar kepada pembangkang termasuk Pas untuk kita mengambil peluang atau menangguk di air keruh.

“Kita perlu memanfaatkan peluang ini untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu kepada kita dan peranan muslimat sangat penting terutama dalam kempen dari rumah ke rumah untuk membina naratif dalam kalangan rakyat bahawa kita adalah penyelamat mereka,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Muktamar Muslimat Pas kali ke 65 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Nik Abdullah (tengah), Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh (dua kanan) dan Timbalan Ketua Muslimat Pas, Dr Rosni Adam (dua kiri) merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

Bagaimanapun, tambah Mohd Amar, beliau mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk menarik sokongan bukan Melayu kepada Pas meskipun di sebalik kekecewaan mendalam mereka terhadap PH.

Ini kerana, jelas beliau, sebahagian besar masyarakat bukan Melayu masih sukar menerima Pas kerana berasakan parti itu seolah-olah menganggap orang bukan Melayu tidak wujud di negara ini.

Dalam situasi itu, ujarnya, orang bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan membuat keputusan sama ada kekal mengundi PH meskipun berasa kecewa dengan gabungan politik itu, atau tidak akan mengundi sama sekali.

“Sebab itu kita perlu membina keyakinan dalam kalangan seluruh rakyat bahawa Pas akan menjadi kerajaan bukan hanya untuk orang Islam atau Melayu sahaja, tetapi untuk semua kaum dan agama,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast