ALOR SETAR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berharap Pas membincangkan secara serius potensi calon daripada sayap itu untuk diketengahkan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua DHPP Pusat, Balasubramaniam Nachiappan JP berkata, cadangan itu bukan semata-mata bagi memenuhi kuota, tetapi merupakan mesej jelas bahawa Pas bersedia menjadi kerajaan untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, Pas perlu melahirkan tokoh-tokoh pemimpin politik dalam kalangan bukan Islam yang memahami perjuangan parti itu serta mampu menjadi duta kepada prinsip Islam yang inklusif dan adil.
“Kita berada pada titik perubahan besar dalam sejarah poltiik tanah air yang mana rakyat sedang mencari harapan baharu dalam kepimpinan negara.
“Mereka telah memberi peluang kepada pelbagai pihak, namun hasilnya mengecewakan.
“Maka, Pas dan DHPP perlu tampil menjadi pilihan, bukan sekadar alternatif tetapi sebagai jawapan kepada keresahan rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DHPP kali ke-10 sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di sini hari ini.
Tambah Balasubramaniam, DHPP juga tidak lagi boleh sekadar berada di luar gelanggang politik, sebaliknya perlu aktif dalam setiap aspek perjuangan melangkaui kempen pilihan raya, dalam usaha membawa perubahan dalam masyarakat.
Katanya, kepercayaan terhadap Pas dalam kalangan bukan Islam perlu dibina semula melalui tindakan-tindakan yang benar-benar menunjukkan parti itu merupakan alternatif terbaik dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi mereka.
“Kita mesti teguhkan lagi kedudukan kita dalam kalangan pengundi bukan Islam dan mereka yang sebelum ini mungkin ragu-ragu terhadap Pas.
“Dengan kerja keras, keterbukaan dan kebijaksanaan dalam menangani isu sensitif, kita pasti dapat membina jambatan yang lebih kukuh antara Pas dan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan keturunan,” katanya.
Sementara itu, Balasubramaniam berkata, sempena konvensyen kali ini juga, DHPP turut melancarkan kempen DHPP Pilihanku dalam usaha menambah keahlian sayap parti tersebut di seluruh negara.
Menurutnya, DHPP tidak boleh semata-mata bergantung kepada struktur sayap itu di peringkat Pusat dalam berdepan PRU akan datang, sebaliknya pemimpin DHPP di setiap wilayah dan negeri perlu menjadi penggerak utama dalam menyemarakkan perubahan khususnya di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette















