SUNGAI PETANI – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan belum ada keputusan muktamad berkenaan kemungkinan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN).
Jelas beliau, situasi ketika ini disifatkan hanya sekadar `merisik’ dan belum sampai ke peringkat `bertunang’.
“Kita tunggu…dia belum bertunang lagi, baru risik khabar, kita tengok nanti kalau MIC hantar pinangan kita akan balas, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kali ke-10 di sini hari ini.
Tuan Ibrahim ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) ada menerima permohonan MIC untuk menyertai gabungan parti politik itu di sebalik spekulasi parti berkenaan berkemungkinan meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN).
Desas-desus itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada Bersatu baru-baru ini, selain kenyataan keras beberapa pemimpin MIC berhubung keberadaan parti itu dalam BN yang disifatkan seolah-olah diabaikan.
Sementara itu, ditanya berkenaan kedudukan DHPP sekiranya MIC diterima sebagai parti komponen PN, Tuan Ibrahim berkata, ia tidak menjadi masalah memandangkan PN mengalu-alukan semua pihak untuk bersama-sama gabungan tersebut.
Malah, ujarnya, ketika ini juga terdapat parti yang mewakili kaum India di dalam PN iaitu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang tidak bercanggah dengan peranan yang dimainkan oleh DHPP.
“Apa yang penting kita duduk dan berbincang dan merumuskan serta mengambil pelan tindakan bersama atas nama PN, jadi tidak ada masalah.
“Ada kawasan-kawasan tertentu yang kita perlu tonjolkan calon daripada kaum India atau calon dari kaum Cina, jadi kita ketengahkan mereka atas nama PN,” katanya. – MalaysiaGazette
















