GAZA – Tentera Israel mendakwa lebih 250,000 orang penduduk telah meninggalkan bandar ini untuk menuju ke bahagian lain wilayah itu sejak beberapa minggu lalu selepas rejim zionis memperhebatkan serangan ke atas pusat bandar terbesar di Gaza.
“Menurut anggaran IDF (tentera), lebih suku juta penduduk Kota Gaza telah berpindah keluar dari bandar itu untuk keselamatan mereka sendiri,” kata Kolonel Avichay Adraee pada X.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira satu juta rakyat Palestin tinggal di dalam dan sekitar bandar Gaza.
Pada hari Sabtu, tentera Israel menggugurkan risalah menggesa penduduk di daerah barat untuk berpindah, ketika agensi pertahanan awam Gaza melaporkan serangan udara berterusan.
“Tentera Israel beroperasi dengan kekuatan yang sangat kuat di kawasan anda dan bertekad untuk membongkar dan mengalahkan Hamas.
“Demi keselamatan anda, pindahkan segera melalui Jalan Al-Rashid ke selatan Wadi Gaza. Anda telah diberi amaran,” menurut risalah tersebut.
Israel kini berada di bawah tekanan antarabangsa untuk menghentikan serangannya, pada masa sama bertekad untuk memusnahkan Hamas dalam apa yang disifatkannya sebagai salah satu kubu terakhir kumpulan itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera telah menyasarkan bangunan bertingkat tinggi, mengatakan ia digunakan oleh Hamas.
PBB dan anggota masyarakat antarabangsa telah memberi amaran terhadap serangan tentera kerana bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah teruk di Gaza dan PBB telah mengisytiharkan kebuluran di situ.
Menurut agensi pertahanan awam, serangan Israel membunuh lima orang sejak subuh hari Sabtu.
Pada hari Jumaat, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh di seluruh wilayah itu,” kata agensi pertahanan awam.
Seorang penduduk Gaza, Umm Anas a;-Ashqar berkata: “Setiap malam kami tidur tanpa mengetahui sama ada kami akan bangun dalam keadaan hidup.
“Pengeboman di sekeliling kami tidak pernah berhenti… Kami tinggal di rumah kami kerana kami tidak mempunyai tempat lain untuk pergi… Ini bukan kehidupan. Kematian lebih mudah daripada ini”. – Agensi
















