KLUANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan kerja-kerja membaiki struktur Jambatan J98 di Jalan Mardi sini yang retak akan bermula bulan depan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 30 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sebut harga bagi kerja-kerja naik taraf persimpangan dan pembaikan jambatan itu telah pun dibuka pada 2 September lalu.
“Cadangan kerja-kerja meliputi bahagian struktur atas iaitu parapet, sambungan deckslab, abutment serta penyediaan weephole bagi memastikan sistem pengaliran air yang lebih baik.
“Pihak JKR juga telah mengadakan libat urus bersama-sama bahagian geoteknik untuk menjalankan semakan terperinci terhadap bahagian substruktur.
“Sekiranya terdapat keperluan pembaikan tambahan akan dipohon bawah peruntukan konsesi. Setakat ini, tiada risiko kritikal yang dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular foto-foto keretakan di jambatan tersebut sehingga melahirkan kebimbangan orang ramai.
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan sememangnya terdapat isu keretakan pada struktur jambatan berkenaan dan masalah itu mula dikesan sejak November 2023.
“Laporan awal menunjukkan wujudnya settlement pada sambungan deckslab dengan abutment, sekali gus menyebabkan berlakunya rekahan,” ujarnya.
Berdasarkan pemantauan pihak konsesi dari 2023 hingga 2025 katanya, rekahan itu berada pada kadar yang sama dan tidak menunjukkan sebarang pertambahan saiz.
“Ini bermakna tiada perubahan yang membimbangkan pada tahap keretakan setakat ini,” katanya lagi.
Tambahnya, JKR Kluang dan Pejabat Daerah Kluang sentiasa memantau keadaan jambatan tersebut dari semasa ke semasa.- MalaysiaGazette
















