Kredit SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram (kg) bernilai anggaran RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 daripada enam individu yang disyaki terlibat dengan sindiket counter setting baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil daripada penggeledahan menerusi Op Rentas ini, SPRM Negeri Selangor telah membuat sitaan terhadap pelbagai harta hasil wang rasuah pada 9 dan 11 September lalu.

Beliau berkata, lima daripada pemilik barangan itu merupakan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di lapangan terbang dipercayai menerima wang daripada ejen-ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini.

Antara barangan lain yang turut disita ialah sebidang tanah lot, rumah, beberapa buah kenderaan mewah, pelbagai jenis beg tangan dan jam tangan berjenama sebanyak 20 utas yang bernilai anggaran RM100,000 serta wang tunai RM20,000.

Antara beberapa buah kereta mewah dirampas SPRM.

SPRM Selangor juga telah membeku akaun- akaun yang berkaitan sebanyak 70 akaun bank yang menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah sekitar RM3.3juta

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast