ALOR SETAR – DAP perlu memastikan semua dan wakil rakyatnya menguasai Bahasa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menggesa pra sekolah milik Pas, Pusat Tunas Asuhan Islam (PASTI) mengajar Bahasa Mandarin dan Tamil.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, masih terdapat menteri dan wakil rakyat DAP yang tidak fasih bercakap Bahasa Melayu semasa berbahas dan menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat.
“Ini ada menteri-menteri cakap Melayu tak reti, baca teks tak faham, kita tanya dia tak reti nak jawab, itu tak betul, Bahasa Melayu itu kena perkasa dulu baru belajar bahasa lain.
“DAP juga perlu sokong untuk Mandarin dan Tamil diajar di Sekolah Kebangsaan, kena bagi subjek pilihan, dalam Parlimen kena cakap Bahasa Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mencabar Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melaksanakan pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil di PASTI sebelum ke sekolah kebangsaan.
Semalam, semasa Muktamar Tahunan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) ke-10, Tuan Ibrahim mencadangkan agar bahasa Cina dan Tamil diperkenalkan kepada semua murid di sekolah kebangsaan, dengan mengatakan ia mampu memupuk perpaduan nasional serta mengikis rasa curiga antara kaum.
Dalam pada itu, Afnan juga berkata, beliau bersetuju dengan cadangan wakil rakyat DAP itu yang mahu bahasa Cina dan Tamil itu diajar di pra-sekolah milik Pas itu.
“Bahasa ini diciptakan oleh ALLAH, memang setiap kaum ada bahasa masing-masing, saya sangat setuju untuk mendekati satu-satu kaum itu, dengan mempelajari bahasa mereka.
“Seingat saya, di PASTI saya ada guru yang boleh berbahasa Mandarin, ada pelajar India boleh bercakap Tamil menjadi pelajar PASTI.
“Itu bukan perkara pelik dalam Pas dan PASTI, kita sudah laksana dan boleh perkasakan lagi,” katanya.
Katanya lagi, Pas tidak memaksa semua pelajar PASTI untuk mempelajari bahasa Cina dan Tamil dengan menjadikan ia sebagai subjek wajib kerana kemampuan kanak-kanak berbeza-beza.
“Saya akan cadangkan kepada pengurusan PASTI tetapi asasnya dia kena belajar agama dulu, lepas itu baru bahasa-bahasa lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















