ALOR SETAR – Tindakan perwakilan Pas yang meminta kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang ditukar tidak akan membawa perpecahan dalam gagasan politik itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kritikan dan gesaan itu hanya lebih kepada untuk meminta semua komponen PN melakukan muhasabah agar melakukan penambahbaikan kepada perkhidmatan kepada rakyat.
“Kritikan itu lebih kepada untuk kita sama-sama muhasabah diri dalam parti, mungkin kritikan itu betul.
“Kalau betul kita kena ikutlah, kalau tak betul kena ada hujah,” katanya pada sidang media pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di sini, hari ini.

Sebelum ini, perwakilan Dewan Ulama Pas mengkritik kepimpinan PN di Pulau Pinang, dipercayai merujuk kepada Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang didakwa gagal berperanan di negeri itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan gesaan berundur itu hanyalah masalah dalaman PN dan perkara itu masih boleh diatasi di atas meja rundingan.
“Itu kita anggap perkara dalaman PN yang kita boleh bincang secara persahabatan, selesaikan masalah, apa yang penting walaupun berlaku sedikit krisis semasa PRN lalu, ibarat air berkocak dalam cawan sahaja.
“Semua petugas kita dapat kerja pernuh sehingga kita dapat kerusi yang besar dalam pilihan raya lalu,” katanya.
Katanya lagi, teguran dan perbezaan pendapat itu masih berlandaskan kepada prinsip demokrasi dan ia boleh diatasi dengan cara yang baik.
“Itu merupakan prinsip demokrasi dalam parti kita dan kita berjuang untuk tiap-tiap parti itu bersatu dan perkataan nasional ini bersatu, kita usahakan.
“Sebab dalam krisis kita usahakan sampai selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















