Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan Kampung Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu pada waktu ini dan dalam jangka masa panjang.

Dalam kenyataan hari ini bagi mengulas isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, baginda dengan tegas mahukan isu tersebut dikendalikan dengan teliti, berhemah dan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda menjelaskan, tiada halangan untuk membangunkan kawasan Kampung Baru seiring peredaran zaman namun syarat-syaratnya mestilah jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut baginda Kampung Baru telah ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan nenda baginda, Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900.

Sepanjang tempoh tersebut sehingga ke hari ini, pelbagai sejarah dan peristiwa penting berkaitan orang Melayu telah tercipta di Kampung Baru antaranya pembinaan Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 sehingga mencetuskan penubuhan UMNO.

Semasa tragedi 13 Mei 1969, kelab tersebut juga dijadikan tempat perlindungan orang Melayu.

Selain itu, padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.

Lebih nostalgik menurut baginda, persefahaman telah dicapai supaya Masjid Jamek Kampung Baru yang dirasmikan Sultan Selangor keenam, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

“Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900.

“Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur,” titah baginda lagi.

Tambah Sultan Selangor, baginda sendiri pernah menetap dan bersekolah Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa di Kampung Baru manakala allahyarham ayahanda kepada Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampung Baru yang mana Tengku Permaisuri Selangor sekeluarga tinggal dan membesar. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast