MELAKA – Pemilik restoran mi segera yang tular mempamerkan haiwan spesies unta dikenali alpaka sehingga dikecam warga net menjelaskan dia adalah pecinta haiwan dan tidak mungkin menzalimi Camelidae diimport dari Australia itu.
Lelaki warga Singapura berusia 31 tahun itu berkata, dia mempunyai sepasang alpaka yang dibeli pada harga RM43,000 namun hanya alpaka jantan dinamakan Jenter berusia 10 bulan itu dipamerkan di restoran manakala pasangannya disimpan di rumah.
“Saya tahu ada yang marah dengan tindakan saya kononnya menzalimi alpaka ini sedangkan saya pencinta haiwan seperti kucing apatah lagi alpaka ini saya beli pada harga lebih RM20,000 seekor.
“Cuma mungkin silap saya kerana pamerkannya di kedai makan dan mungkin lepas ini saya akan perkemaskan semula permohonan mengikut saluran undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini awal pagi tadi.
Terdahulu, lelaki yang hanya mahu dikenali Ong itu menerima dua kompaun bernilai RM10,250 dan notis arah tutup premis berkenaan selama tujuh hari daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Operasi diketuai Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman. Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Ia selepas premis berkenaan didapati melakukan kesalahan mengadakan hiburan mini petting zoo dan memelihara serta mempamerkan 23 ekor ternakan iaitu alpaka, kambing (2), itik, angsa (2), arnab (2) dan 15 ekor kucing yang tidak dibenarkan sama sekali dalam premis makanan.
Kesalahan itu menyebabkan pemilik premis dikompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 dan RM250 kerana melanggar syarat Undang-undang kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020. – MalaysiaGazette
















