KUALA LUMPUR- Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalah tafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaan sekian lama untuk rakyat Palestin.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, Malaysia konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan, serta menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa, serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan dan antara negara.
Tegasnya, prinsip-prinsip asas ini telah menjadi tunjang dasar luar Malaysia sejak kemerdekaannya.
Selaras dengan prinsip-prinsip ini, Malaysia telah menentang sekeras-kerasnya penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan, serta dasar apartheid.
“Sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin demi keamanan, keadilan, kebebasan dan kemerdekaan di satu sisi; serta penentangan tegas terhadap pendudukan dan genosid yang dilakukan ke atas mereka oleh rejim Zionis Israel di satu sisi yang lain; adalah selaras dengancprinsip-prinsip asas ini yang diiktiraf secara sejagat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya, Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan komuniti antarabangsa ke arah keamanan dan keadilan, serta bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, dan akhirnya untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Malaysia juga menekankan keadilan dan akauntabiliti adalah sangat penting untuk keamanan yang berkekalan. Rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan yang terus dilakukannya terhadap rakyat Palestin dan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. – MalaysiaGazette
















