Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melanjutkan waktu operasi kaunter pada hujung minggu di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah proaktif diambil bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu.

Menurutnya, waktu operasi tambahan ini akan bermula pada 27 September dan berlanjutan sehingga 26 Oktober 2025.

“Inisiatif ini selaras dengan pelaksanaan program subsidi bahan api, Budi Madani RON95 (BUDI95), yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata, tambahan waktu operasi memberikan lebih fleksibiliti kepada orang ramai, terutamanya mereka yang mempunyai kekangan masa untuk berurusan pada hari bekerja.

“Dengan lanjutan waktu ini akan dapat menggalakkan lebih ramai pemandu untuk memperbaharui lesen yang telah tamat tempoh sekali gus memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.

“Menurut data JPJ, seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang berada dalam status tidak aktif iaitu tamat tempoh melebihi tiga tahun.

“Angka ini amat membimbangkan berbanding 15.2 juta pemegang lesen CDL yang masih aktif, jadi tindakan proaktif ini penting untuk menangani isu tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Aedy Fadly turut mengingatkan pemegang lesen yang tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di institut memandu bagi mengaktifkan semula lesen mereka.

“Ini adalah satu prosedur mandatori yang perlu dipatuhi demi keselamatan di jalan raya. Bagi pemegang lesen yang tamat tempoh kurang daripada tiga tahun, proses pembaharuan adalah lebih mudah dan pantas.

“Mereka boleh melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau menggunakan kiosk yang disediakan, tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal kerana dapat menjimatkan masa dan memudahkan urusan orang ramai,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah.

“JPJ berharap langkah ini dapat memastikan semua pemandu di Malaysia mempunyai lesen yang sah, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast