Pesawat Cathay Pacific
HONG KONG – Syarikat penerbangan Cathay Pacific yang berpangkalan di Hong Kong menjangka membatalkan lebih 500 penerbangan kerana Taufan Super Ragasa yang diramalkan akan melanda hab kewangan China itu.
“Bermula jam 6 petang esok, 23 September, penerbangan penumpang Cathay Pacific yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong akan dihentikan operasi sehingga disambung semula pada waktu siang pada hari Khamis,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu pada sidang akhbar Isnin.
Katanya, buat masa ini lebih 500 penerbangan dijangka dibatalkan.
Taufan Ragasa sedang menyeberangi Selat Luzon antara selatan Taiwan dan utara Filipina, dan dijangka melanda Hong Kong dan selatan China pada hari Selasa.
Setakat 11 pagi (0300 GMT), angin berkelajuan maksimum 215 kilometer sejam dilaporkan di pusat ribut, dengan tiupan mencecah sehingga 265 kilometer sejam ketika ia bergerak ke arah barat ke arah Babuyan, kata perkhidmatan cuaca negara Filipina.
Balai Cerap Hong Kong meramalkan bandar itu akan menyaksikan “angin kencang hingga ribut” pada hari Rabu.
“Cuaca akan menjadi buruk dengan hujan lebat yang kerap dan gelombang ribut yang ketara,” tambah biro cuaca itu.
Serentak itu, pihak berkuasa merancang untuk menyusun beg pasir dan memasang penghalang banjir untuk beberapa perkampungan pantai di bandar itu.
Biro Pendidikan pula mengumumkan semua sekolah akan digantung pada hari Selasa dan Rabu.
Pihak berkuasa hospital bandar itu berkata, hospital awam telah melaksanakan langkah khas untuk memastikan perkhidmatan kecemasan tidak terjejas semasa ribut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast