Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang media mengenai kejayaan operasi jenayah narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 September 2025.

SHAH ALAM — Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran fentanyl melalui dua operasi besar bulan lalu dengan rampasan melebihi satu tan bahan bernilai lebih TM54 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam Op Black Ash dan Op Black Wood itu menyaksikan rampasan keseluruhan 1.03 tan fentanyl cecair dengan nilai pasaran dianggarkan RM33.4 juta.

“Dalam Op Black Ash pada 19 Ogos di Negeri Sembilan dan Melaka, tiga suspek berusia 22 hingga 31 tahun termasuk dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan bersama 961.8kg fentanyl cecair bernilai RM30.7 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor  hari ini.

Antara dadah yang dirampas hasil kejayaan operasi jenayah narkotik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 September 2025

Hussein berkata, Op Black Wood yang dilakukan 23 Ogos di Selangor menyaksikan penahanan lima individu iaitu tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga asing dengan rampasan 75.09kg pelbagai jenis dadah termasuk 74.97kg fentanyl cecair bernilai RM2.7 juta.

Menurut Hussein, fentanyl terbabit dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang dengan menggunakan kargo yang diisytiharkan secara palsu.

Sindiket terbabit disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa dari sebuah negara di Timur Tengah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang media mengenai kejayaan operasi jenayah narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 September 2025.

“Dadah ini dipercayai dicampur ke dalam cecair vape dan pil bagi pasaran tempatan serta dieksport ke negara jiran,” katanya.

Fentanyl adalah sejenis opioid sintetik yang memiliki 100 kali lebih kuat daripada heroin dan morfin dan telah menyebabkan lebih 67 peratus kematian akibat overdos di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein memberitahu, empat operasi turut dijalankan JSJN bagi membanteras sindiket dadah iaitu Op Ceylon yang mana tujuh individu ditahan di Lembah Klang dan Muar, Johor.

Dalam operasi itu, kata beliau, sebanyak 132.86kg pelbagai jenis dadah bernilai RM3.3 juta termasuk methamphetamine, erimin 5, ekstasi, heroin dan ketamin dirampas.

Menerusi Op Black Birch pada 10 September pula, dua lelaki tempatan ditahan di Sungai Besi bersama 103.33kg methamphetamine bernilai RM3.32 juta.

Manakala menerusi Op Cengal pada 12 September lepas, empat individu ditahan di Lembah Klang dengan rampasan 230.67kg methamphetamine bernilai RM7.4 juta.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah terbabit  sebanyak 1.7 tan.

Secara keseluruhan menerusi enam operasi tersebut telah membawa kepada penahanan 24 individu  iaitu 17 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, empat wanita warga asing dan seorang wanita tempatan berusia antara 19 hingga 55 tahun.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast