KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar perlu mengambil kira pelbagai aspek penting agar matlamat membantu golongan yang benar-benar memerlukan dapat dicapai tanpa menimbulkan isu baharu di peringkat pelaksanaan.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, isu subsidi minyak RON95 terus menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia khususnya dalam konteks kenaikan kos sara hidup dan tekanan fiskal negara.
Katanya, menyedari keperluan reformasi dalam pengurusan subsidi, kerajaan perlu berusaha melaksanakan sistem subsidi bersasar yang lebih adil dan efektif.
“Aspek teknikal seperti penggunaan MyKad sebagai medium pengesahan ketika mengisi minyak perlu berjalan lancar. Sistem ini tidak boleh menyusahkan pengguna dengan prosedur yang rumit atau kelewatan di pam minyak, lebih-lebih lagi di stesen yang sibuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahir berkata, pengalaman mengguna perlu direka bentuk agar mesra pelanggan, cepat dan tidak mengganggu urusan harian rakyat.
Malah gangguan teknikal atau sistem yang tidak stabil berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap dasar tersebut.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang telus dan konsisten antara kerajaan dan rakyat kerana penjelasan mengenai kaedah subsidi bersasar, kelayakan penerima serta had penggunaan perlu disampaikan secara jelas dan berulang.

“Hari ini rakyat dikejutkan dengan makluman bahawa hanya satu kali isian minyak subsidi dibenarkan dalam sehari.
“Tanpa penjelasan yang menyeluruh, langkah seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan dan tanggapan negatif,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, kerajaan perlu memanfaatkan pelbagai saluran komunikasi termasuk media arus perdana, media sosial, risalah serta sesi libat urus secara terus bagi memastikan maklumat sampai ke semua lapisan masyarakat.
Selain itu, beliau menyeru agar mekanisme pemantauan dan penilaian pelaksanaan subsidi dijalankan secara berterusan.
Data penggunaan serta maklum balas rakyat perlu dikumpul bagi menilai keberkesanan dasar tersebut.
“Jika masih wujud ketirisan atau kelemahan, kerajaan harus segera melakukan penambahbaikan. Ini penting agar dasar subsidi kekal relevan dan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahir menyimpulkan pelaksanaan subsidi minyak RON95 bersasar bukan sekadar soal teknikal atau kewangan, tetapi lebih besar lagi menyentuh soal kepercayaan rakyat terhadap kecekapan dan keikhlasan dasar kerajaan.
“Sekiranya prosesnya mudah, komunikasinya jelas dan pemantauannya telus, subsidi bersasar ini mampu menjadi instrumen penting dalam meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan kewangan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















